Salam buat semua khalifah-khalifah yang memakmurkan bumi ini

Adapun blog ini diwujudkan sedemikian rupanya adalah sebagai wadah untuk saya berkongsi ilmu bersama rakan taulan serata dunia. Namun blog ini secara khususnya lebih banyak membicarakan tentang ulasan buku2 Islami, dunia Islam, dunia pengembaraan, dunia motosikal dan isu semasa sesuaian dengan kecenderungan penulis.

The blog was created so apparently is the place to share my knowledge with friends around the world. But this blog is more specifically talking about a book review of Islam, the Islamic world, world travel, the world of motorcycles and the compliance issues with the tendency of the author.

Rabu, 9 November 2011

Iklan Yang Baik Dan Ada Unsur2 Pengajaran

KISAH PISANG DAN PENGAJARANNYA.

Hayati kisah ini:
Maryam, guru kelas Tadika menganjurkan satu permainan yang sungguh menarik untuk murid-muridnya. Setiap murid diminta membawa beg plastik yang berisi pisang yang tertulis nama orang yang paling mereka benci ke kelas pada esok hari. Jadi, jumlah pisang yang perlu dibawa bergantung kepada jumlah orang yang dibenci.

Keesokan harinya, setiap murid membawa beg plastic berisi pisang masing-masing. Ada yang membawa tiga biji, ada juga lima biji dan paling banyak lapan biji. Semuanya sudah ditulis nama orang yang paling mereka benci.
“Sekarang simpan pisang tu. Jangan lupa bawa ke mana sahaja kamu pergi selama seminggu. Inilah permainannya. Selepas seminggu, kita akan tahu keputusannya” beritahu Cikgu Maryam. Kanak-kanak tersebut menyimpan pisang masing-masing di dalam beg.

Hari demi hari berlalu, pisang tersebut mula berbintik-bintik dan akhirnya menjadi busuk . Kanak-kanak itu mula merungut dan marah. Mereka tidak menyukai permainan itu lagi kerana selain beg berat, badan berbau busuk. Ada yang menangis, enggan meneruskan permainan.
Seminggu berlalu, pagi-pagi lagi murid-murid Maryam sudah bersorak. Permainan sudah tamat. Tidak ada lagi beban dan bau busuk yang perlu dibawa.

“Okey semua, apa rasanya bawa pisang dalam beg ke sana ke mari selama seminggu?” tanya Cikgu Maryam. Semuanya serentak mengatakan mereka benci permainan itu. Mereka hilang kawan, sering diejek dan terpinggir. Lebih teruk lagi, terpaksa tidur, makan, mandi, bermain dan menonton TV dengan bau busuk.

“Itulah sebenarnya yang berlaku kalau kita simpan perasaan benci pada orang lain dalam hati. Bau busuk kebencian itu akan mencemari hati dan kita akan membawanya ke mana saja kita pergi. Jika kamu sendiri tidak boleh tahan dengan bau pisang busuk hanya untuk seminggu, cuba bayangkan apa akan jadi kalau kamu simpan kebencian sepanjang hidup kamu” beritahu Cikgu Maryam.

Maryam mengingatkan anak muridnya supaya membuang jauh-jauh perasaan benci daripada membebani hidup. Kemaafan adalah yang terbaik. Menyayangi lebih baik darpada membenci. Moralnya, jangan letak pisang dalam beg. Jangan simpan kebencian, dendam kesumat dan apa-apa yang mazmumah dalam hati. Macam pisang yg makin membusuk, begitu juga hati.

“"Orang-orang yang beriman dan hati-hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram." (Ar-Ra'd: 28)

Isnin, 12 September 2011

Alangkah Lucunya Malaysiaku Ini

     Pada cuti Raya Aidilfitri baru-baru ini saya berkesempatan menonton VCD filem "Alangkah Lucunya Negeri Ini". Filem ini dari negara Indonesia dan sudah ditayang di pawagam Negara Seberang pada 15 April 2010. Saya tertarik dengan filem ini kerana tajuknya agak lucu dan istimewa.


   Filem ini mengisahkan seorang pemuda bernama Muluk lulusan Master of Management yang menganggur hampir 2 tahun. Pertemuan dengan pencopet (penyelup saku) bernama Komet yang juga anak jalanan miskin tidak disangka membuka peluang pekerjaan kepadanya. Mulai saat itu, Muluk mengumpulkan anak-anak jalanan miskin yang bekerja sebagai pencopet lalu diberi kelas pendidikan dan cara mengurus wang supaya anak2 jalanan itu keluar dari kehidupan sebagai pencopet. Akhirnya, Muluk berjaya mengubah pekerjaan anak2 jalanan itu dari pencopet kepada penjual air minuman di kaki2 lima jalan.

    Akhir babak filem ini agak menarik. Kebetulan ada lawatan Presiden Indonesia ke kawasan berhampiran. Polis-polis telah berusaha menangkap semua anak-anak jalanan yang menjual minuman ini kerana mereka dianggap sampah masyarakat dan golongan pengotor. Muluk menjadi berang dan berusaha menghalang tugas polis itu. Filem ini secara sinis menyindir pemerintah kerana membiarkan menteri-menteri yang rasuah tetapi menangkap anak-anak jalanan miskin yang mencari rezeki yang halal. 

Alangkah Lucunya Malaysiaku Ini

    Di Malaysia pun tidak kurang lucunya. Tetapi kali ini bukan dalam filem. Ini kisah nyata. Kisah pertama bermula seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Seorang ahli politik yang bernama Mat Sabu dalam ceramahnya mengangkat seorang lelaki Melayu bernama Mat Indera sebagai pejuang sebenar tragedi Bukit Kepong 1950. Malaysia merdeka pada tahun 1957. Jadi menurut Mat Sabu, polis yang bertugas berkerja dengan penjajah Inggeris sebelum merdeka. Secara ringkasnya, Mat Indera melawan penjajah Inggeris.

    Dalam ucapan sebenar ahli politik ini, tiada satu perkataan "komunis" pun beliau sebut. Boleh semak di youtube ataupun di blog yang berkaitan. Tambahan pula, ahli politik ini merujuk kepada buku Pengukir Nama Johor yang mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan. Cover hadapan buku ini ada gambar Mat Indera dimana MB Johor menulis kata2 pengantar buku ini. 



    Disebabkan ahli politik yang bercakap, maka musuh politik dengan bantuan media massa manopoli yang hebat-hebat pun ambil kesempatan. Maka lagu irama komunis dimainkan berminggu-minggu lamanya. Semua pakat-pakat ulas isu ini. Dari bekas PM hinggalah pak pak Menteri, orang2 biasa-biasa dari hujung kampong Ulu hingga hujung kampong Seberang. Memang agak lucu tetapi itulah politik. Yang ada bisa ditiadakan, yang tiada bisa diada2kan. Ini bab politik, biarkan ahli politik sahaja menari sepuas hati jika mereka mahu. Rakyat boleh menilai dan kritik jika tarian itu bagus atau sumbang.

   Implikasi peristiwa ini hanya melibatkan peristiwa Bukit Kepong. Jika benar dakwaan Mat Sabu, sejarah peristiwa Bukit Kepong 1950 perlu ditulis semula. Jika dakwaan Mat Sabu salah, dia boleh dianggap penipu dan sejarah Bukit Kepong kekal seperti yang kita fahami sekarang ini. Apa-apa pun nama Mat Sabu dan Mat Indera tiba-tiba menjadi top sepelusok negara ini. Maka berdozen-dozen manusia mencari waris  keluarga Mat Indera dan waris polis peristiwa Bukit Kepong yang terkorban. Waris ini secara tiba-tiba mendapat perhatian.

    Ingatkan kisah lucu ini berhenti setakat itu sahaja. Rupa-rupanya ada sambungan kisah kedua yang lebih lucu dan menggeletek jiwa. Sekumpulan ahli akademik yang bijak pandai bertaraf Profesor dari Majlis Profesor Negara mahu tunjuk hero dalam isu ini. Mungkin terlalu banyak makan lemang semasa raya, tanpa disangka-sangka terkeluarlah ayat-ayat keramat yang membuatkan satu Malaysia ketawa terbahak-bahak. Malaya Tidak Pernah Dijajah Inggeris, Inggeris cuma naungi sahaja. 




"Fakta sejarah menunjukkan Tanah Melayu tidak pernah terjajah (oleh British). Ini mesti dibaiki dari sekarang oleh semua pihak sama ada pelajar, guru, ahli politik atau pentafsir politik,"

"Dinaungi tidak sama dengan kolonial... Hanya tiga negeri sahaja yang merupakan tanah jajahan iaitu, Singapura, Melaka dan Pulau Pinang."
"(Negeri-negeri) yang lain adalah dinaungi (atau) dilindungi... Sejak mula Tanah Melayu bukan tanah jajahan atau koloni. Ini fakta sejarah dan perspektif sejarah (itu) perlu diubah."Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar,"

    Kisah kedua ini bukan sahaja ada elemen lucu tetapi ditambah pula elemen "ditipu dan diperbodohkan". Disebabkan gabungan ketiga-tiga elemen inilah membuatkan saya terpanggil untuk menulis. Implikasinya cukup besar yang melibatkan keseluruhan sejarah Malaysia dan bukan terhad di Bukit Kepong sahaja. 

1. Jika kenyataan Profesor itu benar, maka genap 54 tahun kita semua rakyat Malaysia yang berjumlah 27 juta orang ditipu dan diperbodohkan oleh buku-buku sejarah. Semua buku-buku sejarah dan kajian thesis harus dibakar. Rakyat juga ditipu dan diperbodohkan dengan sambutan Kemerdekaan setiap tahun kerana Inggeris tak pernah jajah Malaya, jadi apa guna sambut Merdeka?. Juga apa tujuan Tunku Abd Rahman ke London? Apa perlunya PM pertama ini laungkan Merdeka! Merdeka! Merdeka!? 

Merdeka atau Dinaungi?
2. Jika kenyataan Profesor ini tidak benar, maka sekali lagi rakyat ditipu dan diperbodohkan oleh sekumpulan orang yang dianggap paling cerdik di Malaysia. Apa akan jadi jika orang-orang cerdik ini yang diberi amanah untuk mengkaji dan menulis semula sejarah negara kita? 

    Di negara-negara lain, sambutan kemerdekaan meriah dan rakyat bersatu padu. Tetapi malang sambutan kemerdekaan negara ke 54 menyebabkan rakyat berpecah kepada 2 kelompok; iaitu kelompok pro-penjajah Inggeris dan satu lagi kelompok anti-penjajah Inggeris

    Namun bagi saya, kedua-dua kisah ini amat lucu, walaupun merasa ditipu dan diperbodohkan
Alangkah Lucunya Malaysiaku Ini!!

Rabu, 24 Ogos 2011

ADAM ( Aidilfitri Di Ambang Merdeka)

Salam...
Syukur ke hadrat Ilahi kerana pada tahun ini ditakdirkan kita menyambut Aidilfitri dan ulangtahun Merdeka pada waktu yang hampir serentak. Kemeriahan kali ini amat terasa.

Justeru saya sekeluarga mengucapkan Selamat Menyambut Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Wasalam..

Jumaat, 5 Ogos 2011

Buku-buku yang saya baca bulan Julai 2011

Atas keterbatasan waktu kerana lebih menumpukan masa dengan tesis dan ulangkaji pelajaran, namun sempat juga aku menghadam 5 buah buku sepanjang bulan Julai lepas. Buku Ketika Cinta Bertasbih 1 dan 2 aku baca kerana mahu menikmati indahan bahasa penulisannya walaupun filem itu telah aku tonton dan tahu jalan cerita.

sejarah (berfakta tapi agak bosan) rating 3/5
buku ini memang menarik. rating 5/5
novel yang baik. rating 5/5
buku sejarah tokoh. banyak informasi yang kita boleh perolehi dari buku ini. rating 4/5


Rabu, 20 Julai 2011

Sudah Tiba Masanya Bendera Malaysia Berwajah Baru


Mengapa perlu ditukar? Apa kurangnya bendera Malaysia sekarang ini? Mengapa sekarang? Idea penukaran bendera Malaysia ini bukanlah isu baru. Telah ada individu-individu sebelum ini mencadangkan perkara tersebut namun masih belum dapat diberi pertimbangan. Mereka ini bukanlah tidak patriotik, namun atas semangat patriotik dan cintakan negaralah maka usul dan idea penukaran ini dibuat.

Jika kita membuka tingkap sejarah, bendera Malaysia pada asalnya ialah bendera Persekutuan Tanah Melayu yang mula digunakan dengan rasminya pada 26 Mei 1950.Ini bermakna telah 61 tahun negara kita menggunakan bendera ini. Bendera ini dicipta oleh seorang arkitek bernama Mohamad Hamzah melalui satu pertandingan khas mencipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Apabila penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963, bendera tersebut yang mempunyai 4 warna iaitu merah, biru, kuning dan putih, telah diubah suai sewajarnya menjadi bendera Malaysia.

Perisytiharan Jalur Gemilang sebagai nama bendera Malaysia telah dibuat oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur semasa acara Di Ambang Merdeka sempena perayaan Hari Kebangsaan Malaysia pada 30 Ogos 1997, jam 11.58 malam. Melalui tarikh tersebut, bendera Malaysia sudah sinonim dengan nama Jalur Gemilang dikalangan rakyat negara ini.

Tidak dapat dinafikan bendera Malaysia hampir menyamai bendera Amerika Syarikat. Samada  Mohamad Hamzah sengaja atau tidak semasa mencipta bendera ini dahulu, bukanlah persoalan penting lagi. Rentetan ini menimbulkan masalah tentang jati diri negara kita. Seolah-olah negara kita "dibawah naungan Amerika". Telah beberapa kali kejadian rakyat Malaysia diluar negara disangka rakyat Amerika gara-gara mempunyai bendera yang hampir sama. Juga menimbulkan keresahan bagi tentera mahupun badan-badan sukarelawan Malaysia yang bertugas di negara-negara Islam yang ditimpa musibah kerana disangka tentera Amerika. Mungkin ini kes terpencil namun kita harus rasional dan berfikir ke hadapan.

Sempena ulang tahun kemerdekaan ke 54 yang akan tiba 31 Ogos ini, maka saya merasakan adalah wajar dan telah tiba masanya jalur gemilang berwajah baru, lantas mencetus semangat baru yang lahir dari perubahan ini. Hidup Jalur Gemilang!!



Isnin, 11 Julai 2011

Demonstrasi Jalanan Terbesar dan Berprofil Tinggi Dalam Sejarah Malaysia

         Demonstrasi jalanan bukanlah perkara baru bagi negara kita ini. Sejarah ada mencatat bahawa demonstrasi jalanan secara besar-besaran telah berlaku semenjak tahun 1945 lagi iaitu zaman pra kemerdekaan Tanah Melayu. Malah tidak dapat dinafikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi dengan cara demonstrasi jalanan menentang penjajahan British.

1. Demonstrasi  Menentang Malayan Union

Tarikh: Bermula penghujung tahun 1945 hingga sebelum kemerdekaan.
Penganjur: Allahyarham Datuk Onn Jaafar (pengasas Umno) bersama individu dan pertubuhan-pertubuhan pro kemerdekaan yang lain.
Tujuan: Menentang Malayan Union dan seterusnya merintis jalan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.

Jumlah yang berdemonstrasi: sukar dianggarkan (tiada sumber yang dapat memberi angka yang tepat) kerana ia berlaku di banyak tempat seperti di Kuala Lumpur, Johor, Perak dan lain-lain negeri. (anggaran puluhan ribu peserta).

Foto dari Buku Teks Sejarah Tingkatan 3. Berlaku penghujung 1945




Demonstrasi semakin besar pada sekitar bulan Mei tahun 1946, apabila 2 orang ahli Parlimen British iaitu Capt. L.D. Gammans (dari Parti Conservative) dan Lt. Col. Rees Williams (dari Parti Labour), melawat ke Tanah Melayu atas jemputan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menyaksikan keadaan sebenar yang sedang berlaku di dalam kebangkitan bangsa Melayu menentang Malayan Union. Ketika itu, orang-orang Melayu di mana negeri di Seluruh Tanah Melayu yang dilawati oleh kedua-dua ahli Parlimen British itu, telah keluar beramai-ramai dengan mengadakan perarakan-perarakan dan perhimpunan-perhimpunan raksasa tunjuk perasaan dengan cara masing-masing di tiap-tiap negeri itu.

Menurut kenyataan Capt.L.D.Gammans:
" I have had an amazing journey up from Singapore. At every kampong from Johore Bahru to Kuala Lumpur large crowds of Malays, men, women and children, have lined the roads protesting most vigorously against the Malayan Union proposals," .
"In some towns such as Batu Pahat and Muar there have been mass demonstrations running into thousands of people. And what has interested me the most is to find that Malay women, who in my day took no part in public affairs at all, making speeches."

Demonstrasi jalanan ini telah berjaya dan kesan dari itu Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos tahun 1957.

2. Demonstrasi Kes Natrah 1950

Tarikh: 12 Disember 1950 
Tempat: Singapura (masa waktu ini Singapura masih dalam Persekutuan Tanah Melayu)
Penganjur: Pertubuhan dan masyarakat Islam di Singapura
Jumlah yang berdemonstrasi: Tiada anggaran yang tepat (anggaran puluhan ribu)
Tujuan: Membantah keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya (Kristian).





Tragedi bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah yang sudah diIslamkan telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dikembalikan kepada agama asalnya Kristian. Keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu apabila Natrah akan dimurtadkan. 
      Seramai 18 orang terbunuh/mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British. Mana-mana warga British di Singapura telah diserang. Bangunan dan kereta berhampiran padang dekat mahkamah telah dibakar. Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura.
Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam. ISA telah digunakan bagi membendung keganasan merebak.

3. Demonstrasi Era Reformasi 1998 

Tarikh: 2 September 1998 hingga sekitar 2004
Tempat: Kuala Lumpur
Penganjur: Penyokong-penyokong DS Anwar Ibrahim
Jumlah yang berdemonstrasi: 
Kemuncak awal permulaan gerakan reformasi disaksikan pada petang 20 September 1998 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Dianggarkan hampir 100 ribu warga tanpa mengenal latar kaum dan kelas berhimpun untuk mendengar ucapan ‘terakhir’ dari Anwar sebelum beliau ditahan oleh pihak polis pada sebelah malamnya.

Tujuan: Membantah pemecatan dan penangkapan DS Anwar Ibrahim yang dianggap penyokongnya sebagai zalim


20 September 1998 di Masjid Negara
Pergerakan Reformasi di Malaysia dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya sebaik sahaja beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2 September 1998. Gerakan ini terdiri daripada beberapa acara tunjuk perasaan dan perbarisan besar-besaran untuk menentang kerajaan campuran Barisan Nasional yang lama memerintah, yang berterusan sehingga Anwar ditahan lalu dipenjarakan pada tahun 1998, lalu pudarnya pergerakannya. Sasaran kempen reformasi ialah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mahathir Mohamad yang dipandang sebagai pemimpin yang korup dan sudah terlalu lama memegang jawatannya.

         Kesan peninggalan gerakan reformasi akhirnya terasa ketika pilihan raya umum pada tahun 2008, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim memenangi 31 kerusi parlimen, dan bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) mematahkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen. (Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Reformasi_%28Malaysia%29  )

4. Demonstrasi BERSIH 1 (2007) & BERSIH 2.0 (2011)

Tarikh: BERSIH 1 berlangsung pada 10 November 2007 manakala BERSIH 2.0 pula pada 9 Julai 2011
Tempat: Kuala Lumpur
Penganjur: Jatawankuasa Penaja BERSIH 2.0, pemimpin pembangkang bersama 62 buah pertubuhan NGO
Jumlah yang berdemonstrasi: 
BERSIH 1 berlansung pada era PM  Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Perhimpunan yang menurut pihak Pakatan Rakyat dan media asing seramai  50,000 orang manakala media massa pro-kerajaan menganggar cuma 4,000 orang. 

BERSIH 2.0  pula dikatakan menarik jumlah orang yang berdemonstrasi mengatasi BERSIH 2007 walaupun sekatan yang ketat oleh pihak polis di sekitar Kuala Lumpur. Jawatankuasa BERSIH 2.0 menganggar jumlah kehadiran 50,000 orang, manakala ada pihak media PR dan media asing meletak jumlah melebih 100,000 orang. Pihak polis pula menyatakan kehadiran sekitar 6000 hingga 7000 orang.

Tujuan: Menuntut pilihanraya yang adil.
Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah:
1. Bersihkan senarai undi
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Tempoh berkempen minimum 21 hari
6. Perkukuh institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor
BERSIH 2007

BERSIH 2.0 2011

BERSIH 2.0
   

           Begitulah 4 demonstrasi jalanan terbesar dan berprofil tinggi dalam sejarah Malaysia yang memberi kesan cukup signifikan terhadap rakyat dan negara hingga kini. Terdapat beberapa lagi siri demonstrasi lagi yang tercatat dalam sejarah Malaysia antaranya Demonstrasi Baling 1974, Demonstrasi dan rusuhan 13 Mei 1969 dan  Demonstrasi anti-ISA 1 Ogos 2009 yang tidak kurang signifikannya. Walaupun apa pun diperkatakan tentang tujuan demonstrasi itu dilakukan, kita harus terbuka mendengar dan menerima maklumat dari pelbagai sumber yang sahih, dan bukannya dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.

Sekian, semoga mendapat manfaat.

Jinggaislami blogspot
11 Julai 2011.