Demonstrasi jalanan bukanlah perkara baru bagi negara kita ini. Sejarah ada mencatat bahawa demonstrasi jalanan secara besar-besaran telah berlaku semenjak tahun 1945 lagi iaitu zaman pra kemerdekaan Tanah Melayu. Malah tidak dapat dinafikan bahawa kemerdekaan Tanah Melayu diperolehi dengan cara demonstrasi jalanan menentang penjajahan British.
1. Demonstrasi Menentang Malayan Union
Tarikh: Bermula penghujung tahun 1945 hingga sebelum kemerdekaan.
Penganjur: Allahyarham Datuk Onn Jaafar (pengasas Umno) bersama individu dan pertubuhan-pertubuhan pro kemerdekaan yang lain.
Tujuan: Menentang Malayan Union dan seterusnya merintis jalan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu.
Jumlah yang berdemonstrasi: sukar dianggarkan (tiada sumber yang dapat memberi angka yang tepat) kerana ia berlaku di banyak tempat seperti di Kuala Lumpur, Johor, Perak dan lain-lain negeri. (anggaran puluhan ribu peserta).
|
Foto dari Buku Teks Sejarah Tingkatan 3. Berlaku penghujung 1945 |
Demonstrasi semakin besar pada sekitar bulan Mei tahun 1946, apabila 2 orang ahli Parlimen British iaitu Capt. L.D. Gammans (dari Parti Conservative) dan Lt. Col. Rees Williams (dari Parti Labour), melawat ke Tanah Melayu atas jemputan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menyaksikan keadaan sebenar yang sedang berlaku di dalam kebangkitan bangsa Melayu menentang Malayan Union. Ketika itu, orang-orang Melayu di mana negeri di Seluruh Tanah Melayu yang dilawati oleh kedua-dua ahli Parlimen British itu, telah keluar beramai-ramai dengan mengadakan perarakan-perarakan dan perhimpunan-perhimpunan raksasa tunjuk perasaan dengan cara masing-masing di tiap-tiap negeri itu.
Menurut kenyataan Capt.L.D.Gammans:
" I have had an amazing journey up from Singapore. At every kampong from Johore Bahru to Kuala Lumpur large crowds of Malays, men, women and children, have lined the roads protesting most vigorously against the Malayan Union proposals," .
"In some towns such as Batu Pahat and Muar there have been mass demonstrations running into thousands of people. And what has interested me the most is to find that Malay women, who in my day took no part in public affairs at all, making speeches."
Demonstrasi jalanan ini telah berjaya dan kesan dari itu Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos tahun 1957.
2. Demonstrasi Kes Natrah 1950
Tarikh: 12 Disember 1950
Tempat: Singapura (masa waktu ini Singapura masih dalam Persekutuan Tanah Melayu)
Penganjur: Pertubuhan dan masyarakat Islam di Singapura
Jumlah yang berdemonstrasi: Tiada anggaran yang tepat (anggaran puluhan ribu)
Tujuan: Membantah keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya (Kristian).
Tragedi bertitik tolak dari keputusan mahkamah bahawa Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah yang sudah diIslamkan telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dikembalikan kepada agama asalnya Kristian. Keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu apabila Natrah akan dimurtadkan.
Seramai 18 orang terbunuh/mati syahid dan 173 orang cedera ketika bertempur dengan tentera dan polis British. Mana-mana warga British di Singapura telah diserang. Bangunan dan kereta berhampiran padang dekat mahkamah telah dibakar. Tumpuan utama ialah Masjid Sultan di Singapura.
Singapura diletakkan di bawah perintah berkurung selama 2 hari 2 malam. ISA telah digunakan bagi membendung keganasan merebak.
3. Demonstrasi Era Reformasi 1998
Tarikh: 2 September 1998 hingga sekitar 2004
Tempat: Kuala Lumpur
Penganjur: Penyokong-penyokong DS Anwar Ibrahim
Jumlah yang berdemonstrasi:
Kemuncak awal permulaan gerakan reformasi disaksikan pada petang 20 September 1998 di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Dianggarkan hampir 100 ribu warga tanpa mengenal latar kaum dan kelas berhimpun untuk mendengar ucapan ‘terakhir’ dari Anwar sebelum beliau ditahan oleh pihak polis pada sebelah malamnya.
Tujuan: Membantah pemecatan dan penangkapan DS Anwar Ibrahim yang dianggap penyokongnya sebagai zalim
|
20 September 1998 di Masjid Negara |
Pergerakan Reformasi di Malaysia dilaksanakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para penyokongnya sebaik sahaja beliau dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 2 September 1998. Gerakan ini terdiri daripada beberapa acara tunjuk perasaan dan perbarisan besar-besaran untuk menentang kerajaan campuran Barisan Nasional yang lama memerintah, yang berterusan sehingga Anwar ditahan lalu dipenjarakan pada tahun 1998, lalu pudarnya pergerakannya. Sasaran kempen reformasi ialah Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mahathir Mohamad yang dipandang sebagai pemimpin yang korup dan sudah terlalu lama memegang jawatannya.
Kesan peninggalan gerakan reformasi akhirnya terasa ketika pilihan raya umum pada tahun 2008, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar Ibrahim memenangi 31 kerusi parlimen, dan bersama-sama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) mematahkan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di Parlimen. (Sumber: http://ms.wikipedia.org/wiki/Reformasi_%28Malaysia%29 )
4. Demonstrasi BERSIH 1 (2007) & BERSIH 2.0 (2011)
Tarikh: BERSIH 1 berlangsung pada 10 November 2007 manakala BERSIH 2.0 pula pada 9 Julai 2011
Tempat: Kuala Lumpur
Penganjur: Jatawankuasa Penaja BERSIH 2.0, pemimpin pembangkang bersama 62 buah pertubuhan NGO
Jumlah yang berdemonstrasi:
BERSIH 1 berlansung pada era PM Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Perhimpunan yang menurut pihak Pakatan Rakyat dan media asing seramai 50,000 orang manakala media massa pro-kerajaan menganggar cuma 4,000 orang.
BERSIH 2.0 pula dikatakan menarik jumlah orang yang berdemonstrasi mengatasi BERSIH 2007 walaupun sekatan yang ketat oleh pihak polis di sekitar Kuala Lumpur. Jawatankuasa BERSIH 2.0 menganggar jumlah kehadiran 50,000 orang, manakala ada pihak media PR dan media asing meletak jumlah melebih 100,000 orang. Pihak polis pula menyatakan kehadiran sekitar 6000 hingga 7000 orang.
Tujuan: Menuntut pilihanraya yang adil.
Lapan tuntutan BERSIH 2.0 adalah:
1. Bersihkan senarai undi
2. Reformasikan undi pos
3. Gunakan dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
5. Tempoh berkempen minimum 21 hari
6. Perkukuh institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor
|
BERSIH 2007 |
|
BERSIH 2.0 2011 |
|
BERSIH 2.0 |
Begitulah 4 demonstrasi jalanan terbesar dan berprofil tinggi dalam sejarah Malaysia yang memberi kesan cukup signifikan terhadap rakyat dan negara hingga kini. Terdapat beberapa lagi siri demonstrasi lagi yang tercatat dalam sejarah Malaysia antaranya Demonstrasi Baling 1974, Demonstrasi dan rusuhan 13 Mei 1969 dan Demonstrasi anti-ISA 1 Ogos 2009 yang tidak kurang signifikannya. Walaupun apa pun diperkatakan tentang tujuan demonstrasi itu dilakukan, kita harus terbuka mendengar dan menerima maklumat dari pelbagai sumber yang sahih, dan bukannya dipaksa menerima maklumat sebelah pihak.
Sekian, semoga mendapat manfaat.
Jinggaislami blogspot
11 Julai 2011.